Saturday, January 5, 2013

Kelantan Buru Trofi Keempat, ATM Uji Kemampuan Sebenar

Hairuddin (kanan) dan Badhri memegang Piala Sultan Ahmad Shah yang menjadi rebutan pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Biarpun sedar harapan menggunung peminat fanatik The Red Warriors dalam memburu trofi sulung - Piala Sultan Ahmad Shah - musim ini, pengendali Kelantan, Bojan Hodaktetap optimis anak-anak buahnya mampu pulang dengan kemenangan yang cukup bergaya.

Kelantan akan memulakan aksi Sumbangsih menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini di Stadium Shah Alam.

Kelantan tetap yakin dengan kemampuan walaupun kehilangan beberapa tonggak.
Keupayaan sebenar Kelantan yang kehilangan beberapa pemain utama musim ini seperti Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu dan Mohammad Ghaddar, jelas beliau, juga bakal teruji sepenuhnya malam ini.

“Kami kehilangan sekurang-kurangnya enam pemain utama musim ini, jadi sudah tentu perlawanan malam esok (malam ini) cukup mencabar.

Kehebatan ATM juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka berjaya ke final Piala Malaysia. “Jadi, saya harap dapat membantu Kelantan melakar sejarah kerana belum ada mana-mana pasukan trebel berjaya menjulang trofi keempat sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Bagi kapten kedua-dua pasukan - Kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi - ia bagaikan beraksi di pentas final. Itu janji mereka biarpun aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013 itu tidak menghadiahkan sebarang mata buat kedua-dua pasukan, Hairuddin yang mesra disapa Hai-O enggan mengambil mudah pertemuan tersebut.

Sebaliknya, Hai-O percaya perlawanan itu menjadi titik tolak kemampuan pasukannya mencabar mana-mana pasukan elit dalam saingan Liga Super musim ini.

"Perlawanan Sumbangsih tetap menjadi keutamaan kami sebagai penyuntik semangat sebelum berdepan Lions XII dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (9 Januari) nanti.

"Jika kami berjaya menewaskan Kelantan, ini bermakna ATM sudah bersedia mengharungi Liga Super," kata Hai-O pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada masa sama, Hai-O juga menyifatkan kejayaan menewaskan Kelantan mampu merealisasikan sasaran awalnya membantu ATM untuk sekurang-kurangnya mendakap satu trofi musim ini. "Saya idam satu trofi, jadi Piala Sultan Ahmad Shah merupakan peluang pertama saya. Sudah tentu saya enggan mensia-siakan peluang itu," katanya.

Dalam pada itu, Badhri yang mesra dengan panggilan Piya mengakui, ATM bukan calang-calang pencabar seperti mana yang dibuktikan ketika aksi final Piala Malaysia, Oktober lalu.

Biarpun beberapa keputusan perlawanan persahabatan Kelantan sebelum ini kurang memuaskan, Piya optimis rakan-rakan sepasukannya kembali bangkit mempamerkan karakter selaku sang juara malam ini.

Sumber - Kosmo!

No comments:

Post a Comment