Saturday, January 5, 2013

Kelewatan Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Luar Kawalan - MB

Banjir melanda kawasan Bukit Mentok, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan kelewatan bantuan kepada mangsa banjir gelombang pertama, khususnya di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok, Kemaman baru-baru ini, sebagai di luar jangkaan dan kawalan.

Menurut beliau, pusat pemindahan itu juga hanya mampu menampung kira-kira 1,000 orang mangsa, sedangkan mangsa yang ditempatkan di situ hampir mencecah 7,000 orang berikutan air naik dengan cepat meliputi banyak kawasan.

"Perkara itu memang luar jangkaan kita. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua mangsa dapat bekalan makanan secukupnya.

"Bekalan kita memang sentiasa ada, cuma sedikit masalah dari segi logistik yang tak dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman.

Menyentuh mengenai unit itu, Ahmad berkata, unit tersebut ditubuhkan dua tahun lalu bagi menawarkan urutan tradisional Melayu dan akupuntur terutama kepada pesakit angin ahmar dan urutan untuk ibu bersalin. Selain HSNZ katanya, unit sama juga ditubuhkan di tiga buah hospital lain iaitu di Putrajaya, Pulau Pinang dan di Johor Bahru, Johor.

"Unit ini juga telah memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu amalan perubatan tradisional Melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin sejak Disember lalu," katanya.

Sehingga kini tambah beliau, sebanyak 1,847 pesakit telah menerima rawatan di pusat itu iaitu 733 pesakit (2010), 251 pesakit (2011) dan 593 pesakit antara Januari hingga November tahun lalu.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment