Thursday, January 10, 2013

Kemajuan Malaysia Hasil Kedudukan Politik Yang Kukuh Dan Stabil, Kata Najib


Malaysia mencapai pembangunan dan kemajuan pesat setelah lebih 54 tahun merdeka berikutan kedudukan politik yang kukuh dan stabil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, katanya, kemajuan turut dicapai bersandarkan kepada barisan kepimpinan yang efektif dan berwawasan.

"Kejayaan demi kejayaan telah kita kecapi melalui kepimpinan kerajaan Barisan Nasional. Kejayaan ini hadir berteraskan kepada formula perkongsian kuasa yang diamalkan sejak negara merdeka.

"Kepelbagaian kaum, bangsa dan agama negara kita merupakan satu aset yang bernilai ke arah menjadi sebuah negara yang maju," katanya dalam perutusan Buku Istana Negara - "Lambang Kedaulatan dan Keagungan Raja-raja Melayu" yang dilancarkan malam semalam.

Buku terbitan khas itu dilancarkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail di Hotel Shangri-La di sini. Perdana Menteri berkata pembinaan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur yang dimulakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 adalah bagi menggantikan bangunan Istana Negara sedia ada dengan kompleks baharu yang serba lengkap dan dirancang khusus.

"Kita bersyukur dengan berkat dan rahmat Allah, kerajaan pada hari ini telah berjaya merealisasikan pembangunan sebuah kompleks yang menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan Sistem Pemerintahan Raja Berperlembagaan," katanya.

Sejarah pembinaan Istana Negara baharu bermula dengan upacara pecah tanah pada 13 Nov 2006 oleh Tuanku Syed Sirajuddin yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada masa itu.

Ia siap sepenuhnya dengan penyerahan milik kepada pihak Istana pada 20 Okt 2011. Najib berkata antara sejarah yang telah tercatat di Istana Negara baharu itu adalah pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April lepas.

Beliau berkata sejak peristiwa itu, Istana Negara telah memenuhi fungsinya sebagai tempat istirahat utama dan persemayaman Yang di-Pertuan Agong.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan atas usaha menerbitkan buku khas Istana Negara ini, hakikatnya seni binanya merentas pelbagai pemahaman tentang ketamadunan manusia dan interaksinya dengan alam," katanya.

Perdana Menteri berharap buku itu yang ditulis oleh Datuk Md Nizam Md Sheriff, dapat dimanfaatkan sebagai bahan rujukan dan panduan kepada pereka bentuk, tenaga pengajar, peminat dan pengamal seni ukiran dan hiasan dalaman pada masa depan, serta seluruh rakyat Malaysia amnya.

No comments:

Post a Comment