Hasan (berdiri tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani Mou semalam. |
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Hasan Malek berkata perlindungan berbentuk Takaful Khairat Kematian berkelompok akan memberikan pampasan kewangan sekiranya berlaku kemalangan atau sakit yang mengakibatkan kematian.
"Kita sedar mereka ini terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan di kebun getah seperti serangan binatang buas, keadaan fizikal kebun yang curam, jalan yang sempit berliku dan cuaca buruk.
"Maka sebab itulah dianggarkan 85,326 orang pekebun kecil akan dilindungi melalui skim ini dimana mereka merupakan nadi penggerak pembangunan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Risda dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berkaitan program pendidikan dan keusahawanan di Kuala Terengganu semalam.
Ketengah diwakili Pengerusinya yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said manakala Risda diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.
MoU ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan melalui perkongsian pengalaman, ilmu, sumber dan aset bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan menjana pendapatan yang lebih baik untuk masyarakat luar bandar khususnya di wilayah Ketengah.
Hasan berkata premium tahunan untuk skim itu berjumlah RM1.62 juta di mana nilai pampasan untuk kematian akibat sebarang sebab pula bernilai RM2,000 dengan bayaran tahunan RM18 seorang setahun atau RM1.50 seorang sebulan.
Bayaran premium akan dibuat melalui wang bantuan tanam semula dan skim takaful berkuatkuasa mulai 16 Disember lalu, katanya.
No comments:
Post a Comment