Tuesday, January 1, 2013

Syarikat Dari Cina Pilih Terengganu Sebagai Destinasi Pelaburan


Lebih ramai pelabur China dijangka menjadikan Terengganu destinasi pelaburan pelbagai bidang dalam tempoh lima tahun dari sekarang, selepas mendapati kerajaan negeri ini komited dalam bidang itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata jangkaan itu berikutan semakin ramai pelabur dari negara Tembok Besar itu menunjukkan minat melabur di sini sejak dua tahun lepas.

Ia melibatkan bidang seperti hartanah, kesihatan, pelancongan serta tekstil, yang dijangka melibatkan pelaburan mencecah RM2 bilion.

"Yang ter
baharu, satu syarikat China bersetuju melabur membuka satu hospital pakar, membina kediaman bertaraf sederhana dan mewah serta padang golf yang mempunyai 18 lubang."

"Nilai pelaburan keseluruhan bagi projek berkenaan dianggarkan RM1 bilion di mana majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat berpangkalan di Guangzhou itu dijangka diadakan pada Januari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan sekumpulan 40 pelabur dari republik itu di Kuala Terengganu kelmarin.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Datuk Toh Chin Yaw.

 Beliau berkata Terengganu juga sedang menilai permohonan pelaburan dalam bidang besi waja di kawasan industri Telok Kalong yang membabitkan pelabur dari India, Abu Dhabi dan Korea Selatan selain China.

Bagi pelaburan dalam bidang itu, katanya kerajaan negeri telah menetapkan syarat nilai pelaburan sekurang-kurangnya RM1 bilion dengan menyediakan peluang pekerjaan dengan mengutamakan anak Terengganu.

"China sekarang banyak duit berbanding Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang masing-masing bergelut dengan masalah kewangan akibat kelembapan ekonomi masing-masing.

Sebab itulah China kini mahu melebarkan pelaburan ke luar negara dan Terengganu antara yang menjadi pilihan mereka," katanya.

Selain itu, Ahmad berkata sejak kebelakangan ini semakin ramai pelancong republik itu berkunjung ke sini dan kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya termasuk mengadakan program menarik lebih ramai pelancong China mulai tahun depan sempena Tahun Melawat Terengganu.

"Kita dimaklumkan bahawa Persatuan Pelancongan China ada kira-kira 10 juta anggota dan mempunyai stesen televisyen sendiri."

 "Kalaulah kita dapat menarik 1.0 peratus daripada 10 juta anggotanya, ia sudah memadai bagi memperkenalkan negeri ini dan hasil perolehan pendapatan kepada sektor industri pelancongan negeri akan bertambah," katanya.

No comments:

Post a Comment