Kerja membaik pulih jalan yang rosak teruk akibat banjir di Terengganu hanya akan dilakukan selepas cuaca bertambah baik, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Katanya, perkara itu dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada beliau selepas diarah berbuat demikian susulan aduan pengguna jalan raya.
"...ia tidak dapat dilakukan lagi kerana hujan lebat masih berlaku dan cuaca yang tidak mengizinkan.
Jika kita tampal sekarang semasa hujan masih lagi kerap berlaku, ia dibimbangi jalan berkenaan akan rosak semula dan hanya merugikan.
"JKR akan baiki segera jalan-jalan yang rosak dan berlopak itu setelah hujan reda sedikit," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pakaian seragam kepada pengusaha kereta sewa negeri, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Beberapa batang jalan raya terutama laluan Jerangau-Jabor, jalan pantai Kuala Terengganu-Kemaman dan jalan pantai Kuala Terenganu-Besut menghadapi kerosakan teruk akibat hujan dan banjir yang melanda negeri itu.
Difahamkan ramai pengguna yang melalui kawasan Jerangau-Jabor mengalami kerosakan pada kenderaan seperti tayar pecah, rim bengkok serta kemalangan akibat keadaan jalan berlubang dan tidak rata susulan mendapan.
No comments:
Post a Comment