Friday, January 4, 2013

Anak Lemas Di Tempat Yang Sama Bapanya Jadi Korban Banjir Di Setiu

Wan Munah menunjukkan kawasan cucunya lemas minggu lepas kepada Sohaimi (tengah) dan Abdul Halim (kanan) dari halaman rumahnya di Kampung Kederang.
Bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki, Nik Mohd Al Fahmi Jailani, 6, yang menjadi mangsa korban kedua banjir di Setiu pada 26 Disember lalu juga mati lemas di tempat sama kira-kira enam tahun lalu.

Nenek kanak-kanak berkenaan, Wan Munah Hassan, 54, berkata, anaknya, Muhammad Fadilah meninggal dunia akibat lemas dalam kolam ketika memancing bersama anak bongsunya, Muhammad Bahari Mohd Nawi, 12, pada 2006, tidak jauh dengan tempat cucunya lemas minggu lepas.


Menurutnya, kebetulan beberapa persamaan berlaku iaitu Nik Mohd Al Fahmi juga anak ketiga kepada anak sulungnya, Tuan Norwati Tuan Yunus, 31, sama seperti Muhammad Fadilah yang merupakan anak ketiganya.

“Ketika kejadian enam tahun lalu, Muhammad Fadilah berumur 11 tahun manakala Muhammad Bahari baru berusia 6 tahun. Anak saya terjatuh ke dalam kolam menyebabkan dia lemas dan cuba diselamatkan adiknya, namun gagal,” katanya sebak mengenang kedua-dua kejadian menimpa anak dan cucunya.

Wan Munah berkata demikian selepas menerima kedatangan Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno , Datuk Sohaimi Shahadan yang turut disertai Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh di rumahnya di Kampung Kederang, Permaisuri di Setiu, kelmarin.

Menceritakan kisah yang menimpa cucunya kira-kira 6.30 petang itu, ibu tunggal itu berkata, cucunya sudah menunjukkan perubahan ketara sejak beberapa minggu sebelum kejadian.

Menurutnya, ketika cuti penggal persekolahan akhir tahun lalu, dia yang sepatutnya bersekolah di tahun satu bersungguh-sungguh mahu berkhatan.

“Selepas sembuh berkhatan, dia bersama keluarganya yang menetap di Kampung Permatang Sungkai, Pasir Putih, Kelantan datang ke rumah makcik di sini, pada hari kejadian.

“Sebaik tiba di rumah, dia memberitahu makcik hendak ikut ayahnya (Jailani Mat Isa, 37) untuk pergi memukat ikan dan dia berkata ‘nak pergi dah’,” katanya yang mendapat berita kehilangan cucunya tidak lama kemudian.

Katanya, selain ibu bapa Nik Mohd Al Fahmi, dia juga sentiasa berendam air mata sehinggalah mayat cucunya ditemui 200 meter dari tempat kanak-kanak itu lemas pada jam 12.45 tengah malam hari sama.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment