Monday, January 21, 2013
KMM Pendekkan Waktu Menunggu Di Klinik Pesakit Luar
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha untuk memendekkan waktu menunggu di klinik pesakit luar kepada kurang 30 minit serta memastikan pesakit dapat menerima rawatan dengan segera.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Mohd Azhar Yahaya berkata, rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan selepas waktu pejabat di Kilinik 1Malaysia yang beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
“Malah terdapat juga beberapa Unit Pesakit Luar di hospital dan klinik kesihatan telah beroperasi pada waktu rehat bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Kempen Amalan 3S (senyum,salam,sapa).
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Perpustakaan Awam Terengganu semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Anwa Sulaiman dan Timbalannya Dr. Mohamad Omar serta lebih 300 jururawat dan kakitangan hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.
Katanya, semua penambahabaikan ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
"Keupayaan untuk menyambut cabaran ini pasti dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan dan meletakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan negara ini sebagai antara yang terbaik di dunia,” katanya.
Menurutnya, pegawai kanan setiap peringkat hendaklah main peranan untuk mencetus perubahan nilai dan minda di kalangan pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing kerana nilai murni dapat memupuk perasaan penyayang dan empati terhadap pesakit yang memerlukan perhatian.
“Pegawai penyelia bertanggungjawab untuk mengenalpasti pegawai dan anggota untuk mendapatkan latihan yang selayaknya bagi meningkatkan kemahiran dan profesionalisme mereka dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Mengenai kempen 3S ini katanya ia perlu diadakan berterusan dalam usaha membudayakan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
“Mungkin mudah bagi kita mengamalkan senyum, salam dan sapa tapi bagi sesetengah warga kita yang terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah pelanggan pesakit atau waris pesakit, tetapi saya berharap itu bukan alasan untuk tidak amal 3S,” katanya.
Namun begitu katanya, khidmat mesra sepanjang masa merupakan ikrar warga jabatan kesihatan dan ia mampu memberi impak positif menyampaikan perkhidmatan dengan penuh sifat penyayang, perihatin dan timbang rasa.
Teganukita
No comments:
Post a Comment