Ketua Pegawai Operasi AirAsia, Aireen Omar Pengasas Bersama dan Pengarah AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun; Pengerusi AirAsia X, Tan Seri Rafidah Aziz dan Azran Osman-Rani. |
Penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz dari Kuala Lumpur bermula dengan kekerapan tiga kali seminggu dari 16 Februari hingga 30 April.
Kekerapan penerbangan akan dipertingkatkan kepada empat kali seminggu bermula 1 Mei dan seterusnya mengikut permintaan serta musim puncak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman Rani berkata, AirAsia X berbangga dengan pelancaran laluan baru ini yang juga merupakan destinasi ke-14 dalam rangkaian penerbangannya.
“Jeddah adalah pintu gerbang ke bandar suci Makkah dan Madinah. Kami gembira dapat tawar perkhidmatan penerbangan lebih murah untuk tetamu Muslim di Malaysia dan seluruh rantau bagi mengerjakan haji dan umrah.
“Kami percaya dengan rangkaian yang luas dan struktur tambang yang rendah dapat menggalakkan tetamu untuk melawat destinasi seperti Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Australia dan negara Asia Pasifik lain yang kaya dengan pelbagai budaya dan adat resam,” katanya.
Sementara itu, bersempena pelancaran laluan baru ini, AirAsia X menawarkan promosi tambang serendah RM399 sehala untuk tambang ekonomi dan RM1,599 sehala untuk tempat duduk ‘Premium Flatbed’ dari Kuala Lumpur ke Jeddah.
Tempahan boleh dibuat menerusi internet bermula semalam sehingga esok, bagi tempoh perjalanan 16 Februari hingga 9 Februari 2014.
No comments:
Post a Comment