Kementerian Kesihatan mengenakan tindakan pengawasan tahap empat terhadap semua produk tenusu yang diimport dari New Zealand ekoran penemuan residu Dicyandiarnide (DCD) dalam produk negara itu berkuat kuasa Jumaat lepas.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, meskipun DCD tidak dianggap berisiko kepada keselamatan makanan, namun pemeriksaan rapi perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Saya diberitahu DCD tidak berbahaya dan tidak menyebabkan kanser namun demi kepentingan rakyat, kita akan ambil sampel dari semua hasil tenusu tersebut bagi memastikan tiada unsur tercemar yang terkandung dalam produk berkenaan," katanya ketika melawat khemah pemeriksaan kesihatan di Batu Caves sempena Thaipusam semalam
Mengulas laporan residu produk tenusu oleh Dairy Reporter dan The Wall Street Journal Khamis lepas, beliau berkata, baja mengandungi DCD yang digunakan peladang ke atas rumput untuk menghalang sisa baja daripada meresap ke sungai itu tidak mempunyai had penggunaan antarabangsa kerana dianggap tidak berisiko.
Beliau berkata, pemantauan rapi turut dilaksanakan terhadap semua produk tenusu yang terjual di pasaran tempatan bagi memastikan ia selamat serta mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Katanya, pengguna yang masih ragu dengan status keselamatan produk tenusu yang terdapat di pasaran tempatan boleh mengemukakan laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri.
No comments:
Post a Comment