Monday, January 28, 2013

Pejabat Kesihatan Beri Kesedaran Kepada Orang Awam

Antara peserta terdiri daripada warga emas dan wanita yang hadir pada Kem Kesihatan My Sihat

Walaupun kesedaran masyarakat mengenai aspek kesihatan di luar bandar meningkat, namun ia bukan alasan bagi kakitangan Pejabat Kesihatan goyang kaki daripada terus memberi penerangan dan maklumat mengenai aspek kesihatan kepada awam.

Menyedari betapa pentingnya penerangan, pendidikan dan maklumat mengenai kesihatan secara berterusan perlu disampaikan, agensi itu turut menganjurkan program Kem Kesihatan My Sihat Bersama Komuniti di Padang Tanjung di Bukit Payong, kelmarin.

Program sehari itu mendapat sambutan apabila berjaya menarik lebih 100 kanak-kanak dan warga emas serta wanita untuk menyertai pelbagai acara yang dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Dun Bukit Payung, Zaidi Muda.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Tanjung, Wan Ahmad Wan Yusof, 63, berkata, antara aktiviti dijalankan termasuklah senamrobik, sukaneka, taklimat kesihatan serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

“Rata-rata berpendapat melalui pendedahan seperti program ini, mereka yang tinggal di kampung dapat terus mengekalkan kecergasan diri dan keluarga selain berusaha mengamalkan diet sihat,” katanya.

Wan Ahmad berkata, kehidupan sihat tidak akan datang dengan sendiri tanpa kita berusaha. Ibu bapa misalnya, juga perlu menunjukkan contoh baik kepada anak untuk menjaga kesihatan.

Menurutnya, Kem Kesihatan My Sihat juga membuktikan kakitangan Pejabat Kesihatan tidak goyang kaki di pejabat walaupun menyedari kesedaran masyarakat di luar bandar mengenai aspek kesihatan sentiasa meningkat.

“Dalam pada itu, program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim kalangan kakitangan Pejabat Kesihatan dengan penduduk setempat.

"Berdasarkan sambutan, kami bersemangat jika pihak terbabit dapat meneruskan lagi program ini pada masa depan,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment