Wednesday, January 9, 2013

"Masalah Affize Boleh diselesaikan'

Affize (tiga dari kanan) perlu menyelesaikan masalahnya dengan PBSNT secara lebih profesional.
Masalah yang dihadapi bekas pemain tonggak Harimau Muda A, Mohd. Affize Faisal Mamat dapat diselesaikan dengan cara baik sekiranya pemain itu bersikap profesional.

Pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong berkata, permasalahan tersebut timbul berikutan tindakan pemain kelahiran Hulu Terengganu itu yang enggan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Sepatutnya dia datanglah berunding secara profesional dengan kita. Kita tahu dia mahu beraksi bersama pasukan ATM atas dasar mahu menimba pengalaman dan berharap dapat sijil perpindahan negeri dengan segera daripada PBSNT.

 “Tetapi kita mempunyai peraturan yang perlu diikuti dan jika dia mengadakan perbincangan, segala masalah dapat diselesaikan dengan baik. “Malah, sekiranya bermain dengan Terengganu pun, kami tidak ada masalah dari segi gaji dan kita mungkin boleh bayar seperti pasukan lain bayar,” katanya di Kuala Terengganu kelmarin.

Mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain berusia 23 tahun itu perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran selepas kontraknya bersama Harimau Muda A tamat.

Jika pasukan negeri tidak mahukan khidmatnya, barulah pemain tersebut boleh dilepaskan kepada pasukan lain. Malah Terengganu masih mengosongkan satu tempat untuk Mohd. Affize dalam perdaftaran pemain musim ini berikutan dia tidak hadir mendaftarkan namanya dalam kontrak perjanjian pemain.

Marzuki berkata, dalam masalah Mohd. Affize ini, PBSNT kekal dengan keputusan tidak akan melepaskan pemain tersebut kepada skuad ATM kendalian B. Sathianathan.

“Sepatutnya Mohd. Affize mengambil contoh bekas-bekas pemain pasukan Harimau Muda A yang lepas yang mana mereka kembali ke Terengganu atau negeri masing-masing dahulu sebelum berhijrah ke mana-mana pasukan atau kelab,” katanya.

“Lagipun, ini selari dengan peraturan FAM bahawa mana-mana pemain yang keluar daripada pasukan Harimau Muda A, pemain itu kena pulang kepada pasukan negeri.”

Sehubungan itu, Marzuki berkata, pihaknya akan menantikan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM yang akan menentukan nasib Mohd. Affize dalam mesyuaratnya esok.

No comments:

Post a Comment