Tuesday, January 1, 2013

Mou Risda, Ketengah Wujudkan Lima Kerjasama Memanfaatkan Pekebun Kecil


Pengerusi Risda, Tan Sri Dr Abdul Rahim Thamby Chik menganggap Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Risda dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperinci lima kerjasama.

Antaranya bersetuju membangunkan tanah melalui program Tanam Semula Getah ke Getah (TSGG) sepanjang 2013 hingga 2014 yang melibatkan pembangunan tanah getah seluas 181.24 hektar kepada 142 orang pekebun kecil dengan nilai RM1.67 juta.

"Selain itu, bagi skop program pembangunan usahawan pula, Risda dan Ketengah akan bekerjasama memaju, membantu dan melatih 40 usahawan dalam bidang-bidang kraftangan seperti kraf daun getah, barangan seramik, barangan rotan. Ini akan memberi nilai tambah kepada mereka," katanya.

Perjanjian MoU ditandatangani Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Mohamad Zuki yang mewakili Risda dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, mewakili Ketengah.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek; Pengurusi Risda, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Datuk Ibrahim Muhamad.

Rahim juga berkata beberapa siri MoU telah dimeterai sebelum ini yang melibatkan beberapa agensi yang bekerjasama dengan Risda dan syarikat milikan Risda.

"Risda sebelum ini juga telah menandatangani MoU dengan Felda, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Felcra, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi program tanah semula dan pendidikan.

"Kita lihat konsep Strategi Lautan Biru iaitu pendekatan aplikasi secara kreatif dan inovatif dalam melaksanakan dasar kerajaan harus diberi perhatian dan diteruskan kerana ia terbukti membawa impak positif kepada rakyat dan negara," katanya.

Pada tahun ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM397.7 juta kepada Risda untuk melaksanakan program tanaman semula dan tanam baru secara keseluruhan 47,310 hektar. Bagi tahun 2013, Risda menerima peruntukan kerajaan lebih RM432 juta untuk pembangunan tanam semula getah seluas 35,994 hektar

Risda dan Ketengah semalam menandatangani MoU bagi melaksanakan pelbagai program secara bersepadu yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 petani dan pekebun kecil di wilayah Ketengah.

Perjanjian tersebut membolehkan kedua-dua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melaksanakan Program Pembangunan Tanam Semula, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Perladangan dan Pengurusan Kilang Sawit, Pembangunan Pendidikan dan Latihan serta Pembangunan Pengurusan dan Pemasaran Unggas serta Haiwan bagi faedah golongan sasar.


No comments:

Post a Comment