Saturday, January 19, 2013

Pahang Yakin Tahun Melawat Terengganu Tidak Jejas Sasaran 11 Juta Pelancong

Tasik Chini yang mampu menggamit pelancong.
Pahang yakin Tahun Melawat Terengganu 2013 tidak akan menjejaskan sasaran 11 juta pelancong ke Pahang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata Pahang optimis akan dapat mengekalkan jumlah 11 juta pelancong yang direkodkan pada tahun lepas.

"Sebenarnya promosi Tahun Melawat Terengganu itu juga akan memberi tempias positif kepada industri pelancongan di Pahang. Mereka yang melancong ke Terengganu juga akan singgah di Pahang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 kepada 680 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, semalam.

Beliau berkata, sektor pelancongan di Pahang menerusi pakej ekopelancongan tetap akan menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Shafik Fauzan berkata, industri pelancongan tetap menjadi antara sumber pendapatan utama di Pahang dengan pulangan lebih RM4.5 bilion setahun.

"Sebenarnya industri pelancongan merupakan antara sumber pendapatan terbesar negara, tahun lepas misalnya, ia menghasilkan pendapatan berjumlah lebih RM44 bilion membabitkan lebih 20 juta pelancong di negara ini, dan di Pahang, industri pelancongan juga memberi pulangan besar kepada negeri dan rakyat," katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan menarik lebih ramai pelancong ke Pahang, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk memperkenalkan konsep ekopelancongan di Tasik Bera dan Tasik Chini.

 "Di Semenanjung Malaysia, hanya Tasik Bera dan Tasik Chini sahaja merupakan tasik semula jadi," katanya.

No comments:

Post a Comment