Sunday, January 27, 2013

Pembinaan Semula Rumah Terbakar Diperluas Ke Seluruh Negara


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperluaskan program Pembinaan Semula Rumah Terbakar ke seluruh negara sejak diperkenalkan tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata perluasan program di bawah Strategi Lautan Biru Negara itu bagaimanapun bergantung kepada peruntukan yang diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan orang awam.
Beliau berkata lima buah rumah telahpun siap dibina di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu dan fasa kedua akan diperluaskan ke Melaka, Johor, Sabah serta Sarawak.

"Sebuah rumah yang terbakar lebih 80 peratus di setiap negeri akan dibina semula namun bergantung kepada peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Negara 'My Beautiful Neighbourhood' di Bukit Rambai kelmarin.

Beliau berkata pada fasa pertama tahun lepas, jabatan itu berjaya membina lima buah rumah melibatkan anggaran kos RM35,000 hingga RM45,000 sebuah.

Wan Mohd Nor berkata program yang merupakan satu daripada tanggungjawab korporat sosial yang dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak itu bertujuan membantu mangsa kebakaran yang kurang berkemampuan memiliki semula rumah sendiri.

Antara pihak yang menyalurkan bantuan termasuk peruntukan kewangan bagi menjayakan program itu ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, katanya.

Justeru, beliau amat mengalu-alukan sumbangan berbentuk kewangan mahupun bahan mentah daripada pelbagai pihak agar program itu dapat terus dilaksanakan dengan jayanya di setiap negeri.

Sementara itu, penerima rumah bina semula di bawah program tersebut, Gilbert Tessensoen, 53, seorang buruh berkata dia amat terharu dan berterima kasih atas inisiatif yang dilaksanakan JBPM dalam usaha meringankan beban mangsa kebakaran.

Beliau dan isteri, Mary Chua Mee Lee, 55, sebelum ini terpaksa menumpang di rumah anak mereka di Taman Krubong Utama, Krubong ekoran kebakaran yang memusnahkan lebih 80 peratus rumah yang mereka diami sejak 28 tahun lepas.

"Saya berasa seperti bermimpi dan ia merupakan khabar paling gembira buat saya dan isteri apabila dimaklumkan rumah ini akan dibina semula anggota JBPM seminggu selepas kebakaran," katanya ketika ditemui di Kampung Paya Salak di sini.

No comments:

Post a Comment