Pertemuan antara Terengganu dan Felda United dalam perlawanan pembukaan tirai Liga Super, Selasa ini, mampu diadakan pada sebelah malam.
Ini berikutan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah meningkatkan keupayaan lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) untuk mencapai lebih 1,000 lux seperti ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Setiausaha MBKT, Samiun Salleh berkata bagaimanapun keputusan kebenaran bermain pada sebelah malam tersebut akan diketahui selepas satu pemeriksaan oleh wakil FAM pada malam Ahad.
"Kerja-kerja pemasangan lampu limpah berkenaan telah siap dilakukan dan pihak kita akan memeriksa tambahan pencahayaan pada malam ini," katanya.
Mengikut jadual perlawanan, pertemuan kedua-dua pasukan itu akan diadakan pada sebelah petang berikutan pencahayaan lampu limpah di SSINS tidak melepasi syarat FAM sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said telah mengambil tindakan segera untuk menaik taraf lampu limpah serta menukar tiang lama kepada tiang baharu di stadium itu daripada 800 lux ke 1,400 lux dengan kos RM4 juta.
Berikutan itu, pasukan Terengganu terpaksa melayan pihak lawannya di Kuala Terengganu pada sebelah petang selama tiga bulan sebelum lampu baharu tersebut siap dipasang sepenuhnya.
Menurut Samium, pihaknya akan melakukan sebaik mungkin lampu tambahan supaya ia memenuhi kehendak FAM.
Sementara itu, Pengurus pasukan Terengganu Marzuki Sulong berharap FAM akan membenarkan pasukan Terengganu bermain pada waktu malam dengan penambahan cahaya lampu limpah tersebut.
"Saya yakin mudah-mudahan kita boleh bermain waktu malam dengan perkembangan terbaru ini," katanya.
No comments:
Post a Comment