Rakyat di Terengganu tidak perlu bimbang kerana bekalan makanan khususnya barangan keperluan harian sepanjang musim tengkujuh di seluruh negeri mencukupi.
Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Abdul Ghani Harun berkata, bekalan makanan terkawal kerana pemborong utama di setiap daerah telah bersedia menyimpan makanan lebih daripada kebiasaan.
“Kita telah arahkan pihak pemborong untuk menyimpan bekalan barangan makanan 20 peratus lebih dari biasa. Kalau biasa mereka simpan 100 tan, musim ini mereka boleh simpan sehingga 120 tan. Ia berkuat kuasa sehingga 28 Februari depan.
“Jadi, mereka telah mula buat persediaan untuk pastikan bekalan stok makanan mencukupi sejak November lalu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, harga setiap barangan kawalan sentiasa dipantau, bagaimanapun, pengguna diminta segera membuat laporan kepada pejabatnya jika berdepan dengan peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
“Musim begini kita khuatir sekiranya ada yang ambil kesempatan, namun, kita yakin, di Terengganu tidak berlaku keadaan sedemikian.
“Walaupun begitu, kita harap pengguna segera membuat laporan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sekiranya berdepan dengan peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment