Thursday, January 3, 2013

PHM - Pemilihan Faizal, Kumar Bukti Kita Diiktiraf


Pemilihan  dua pemain skuad hoki negara untuk beraksi pada Liga Hoki India (HIL) bulan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap skuad Malaysia.

Kedua-dua pemain ini akan menerima gaji lumayan di mana Faizal Saari ditawarkan gaji RM79,560 manakala S Kumar pula menerima RM45,900.

Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Datuk Nur Azmi Ahmad, pemilihan ini juga membuktikan Malaysia mempunyai pemain yang sama taraf dengan pemain-pemain dunia.

"Pemilihan ini dinilai dari segi prestasi mereka, sebenarnya pihak kami telah menghantar lima nama pemain, tapi hanya Faizal dan Kumar sahaja terpilih," kata beliau kepada Sinar Harian Online semalam.

Beliau berkata, HIL merupakan kejohanan profesional mengikut standard dunia dengan melibatkan lima kelab dalam liga tersebut

"Ini salah satu peluang yang baik kepada pemain kita untuk meluaskan pengalaman beraksi di kejohanan dunia sementara mereka masih muda," katanya lagi.

Dalam pada itu, Faizal Saari ternyata gembira dengan pemilihan itu, sekali gus impiannya untuk beraksi di luar negara tercapai setelah gagal beraksi dengan kelab Sepanyol, Athletic Terassa Club, pada Julai lalu kerana membantu skuad negara menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina.

"Saya memang gembira setelah terpilih untuk menyertai Liga India dan saya memang tidak sangka impian saya akan tercapai," kata Faizal.

Faizal berhasrat mahu mencipta nama dan mengharumkan nama Malaysia setelah dipilih oleh kelab Mumbai Magicians untuk beraksi dalam HIL.

"Saya mahu membuktikan Malaysia mempunyai pemain yang bagus dan saya harap untuk masa akan datang mereka akan mengambil lebih pemain dari Malaysia," jelasnya.

Persiapan menjelang saingan tersebut, Faizal telah bersedia, namun mahu meningkatkan tahap staminanya.

"Sekarang saya tengah berehat, tapi saya mahu menjaga fitness saya disamping menguruskan visa untuk pergi ke sana. "Harapan saya, saya mahu menjaringkan sebanyak mungkin dan saya harap saya dapat beraksi dalam liga-liga lain seperti ini," jelasnya lagi.

Sementara itu, Kumar pula akan beraksi dalam HIL bersama kelab Uttar Pradesh Wizards.

No comments:

Post a Comment