Thursday, January 3, 2013

PPNT Mahu Laksana Beberapa Projek Hartanah Bernilai RM3 Juta Tahun Ini

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) akan melaksanakan beberapa projek hartanah bernilai sekitar RM3 juta di atas tanah terbiar miliknya pada tahun ini bagi menjana pendapatan pada masa akan datang.

Pengurusnya, Sawaluddin Ahmad berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya akan memajukan tanah berkenaan untuk tujuan pengkomersilan di negeri ini.

Bercakap di Kuala Terengganu, semalam, beliau berkata projek pertama ialah membina Wisma Peladang Terengganu 2 di Jalan Bijangga, Dungun, yang menelan kos lebih RM2 juta untuk pulangan hasil lebih RM300,000 setahun.

"Projek tersebut akan dibangunkan oleh Gapets Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PPNT," katanya, sambil menyatakan bahawa reka bentuknya masih dalam peringkat pelan untuk diluluskan oleh PPNT.

Katanya bangunan tiga tingkat itu akan mempunyai empat pintu kedai, 26 bilik hotel bajet serta dewan serba guna, yang dijangka siap sebelum akhir 2015.

Pada masa ini, tapak projek itu, yang menempatkan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Dungun, akan mengubah wajah kawasan itu apabila bangunan baharu itu disiapkan kelak.

Sawaluddin berkata PPNT juga sedang melihat beberapa lagi bidang tanah miliknya yang tidak digunakan untuk dimajukan dengan pelbagai projek lain seperti perumahan.

Selain itu, beliau berkata PPNT juga turut membeli seunit rumah kedai tiga tingkat bernilai lebih RM1 juta di Jalan Semarak Kuala Nerus, di sini untuk disewakan bagi mengukuhkan lagi sumber kewangan PPNT.

Selain pembangunan projek hartanah, PPNT juga melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti perniagaan input pertanian melalui anak syarikat yang mempunyai jumlah perniagaan bernilai RM12 juta.

"Bagaimana pun, tahun ini, kita menyasarkan isi padu perniagaan itu meningkat kepada RM13 juta. Ia terlibat dengan perkhidmatan kejenteraan ladang, traktor pembajak dan jentera pemotong padi," katanya.

Perkhidmatan itu mampu memberi hasil sehingga RM200,000 setahun kepada PPNT dan ditambah dengan perniagaan sarang burung walet yang mampu menjana perolehan hampir RM2.4 juta setahun.

Perniagaan sarang burung walet berpusat di pejabat PPK Manir, di KM10, Jalan Kota Bharu.

Sawaluddin berkata PPNT juga mempunyai beberapa ladang kelapa sawit di negeri ini seperti 500 hektar di Kampung Pelam, Telemong, dan 260 hektar di Bukit Jela, di Bukit Diman.

Kedua-dua projek itu, yang terletak di Daerah Hulu Terengganu, masing-masing menjana pendapatan kira-kira RM200,000 dan RM550,000 setahun.

PPNT juga melaksanakan beberapa projek tanaman buah-buahan seperti jambu batu, belimbing, betik dan pisang di kawasan seluas 123 hektar di Durian Mentangau Bukit Besi, Dungun yang mendatangkan hasil lebih RM190,000 setahun, katanya.

No comments:

Post a Comment