Sunday, January 27, 2013

PKBM Harap Adiq, Amir Menyerlah Di ACC India 7 - 7 Mac


Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengharapkan dua pelumba lebuh raya negara, Amir Mustafa Rusli dan Mohammed Adiq Husainie Othman untuk melakar kejutan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di India pada 7 hingga 17 Mac depan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab percaya, pengalaman yang diperoleh kedua-dua pelumba itu pada temasya Sukan Olimpik London 2012 mampu menjulang nama negara pada ACC kelak.

Begitupun, keputusan muktamad pelumba yang akan beraksi dengan skuad negara di New Delhi itu nanti akan ditentukan pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan terakhir yang dipengerusikan oleh Abu Samah pada 31 Januari ini.

 "Saya mengharapkan Amir dan Adiq mampu menyinar pada ACC 2013 nanti kerana mereka sudah menimba pengalaman berguna ketika beraksi pada Sukan Olimpik 2012 lalu. Pada ACC itu kelak, Adiq akan beraksi dalam kategori bawah 23 tahun.

 "Sebenarnya, seramai 43 pelumba telah disenaraikan secara rawak, begitupun jumlah sebenar yang akan dibawa ke India belum diputuskan lagi kerana keputusan muktamad akan ditentukan pada hujung bulan ini.

"Nama-nama mereka sudah dikenal pasti tetapi kami harus melihat dahulu laporan daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan lebuh raya (Aminuddin Sulaiman) dan trek (John Beasley)," katanya selepas sidang akhbar Kejohanan Lumba Basikal Trek Remaja Asia Terbuka Kuala Lumpur 2013 di Hotel Mandarin Court, Kuala Lumpur semalam.

Dalam senarai tersebut, PKBM telah mencadangkan semua pelumba elit negara, manakala pelumba remaja pula terdiri daripada mereka yang beraksi pada Festival Olimpik Remaja Australia (AYOF) 2013. Abu Samah turut mendedahkan bahawa skuad negara bakal disertai oleh dua pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh dan abangnya, Mohd. Zamri Salleh.

"Pada 18 Januari lalu, kami telah berbincang dengan TSG di mana kami telah memohon untuk menggunakan khidmat dua pelumba mereka iaitu Zamri dan Harrif.

"Selebihnya pula terdiri daripada pelumba-pelumba skuad kebangsaan seperti Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi, Mohd. Nur Rizuan Zainal dan Mohd. Rauf Nur Misbah.

"Ini antara barisan pelumba yang telah kami cadangkan dan kemungkinan sebelum 4 Februari ini, PKBM akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemilihan peringkat akhir bagi membuat keputusan muktamad," jelasnya.

No comments:

Post a Comment