Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Berang (PPKKB) yang menjalankan projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Comor, Tasik Kenyir telah mencatat keuntungan selepas modal RM40,000 tahun lepas.
Pengurus Besar PPKKB Rosman Abdul Rashid berkata, pada tahun lepas, PPKKB telah menjual lebih lima tan metrik ikan patin, baung dan talapia merah bernilai kira-kira RM120,000.
"Ini merupakan projek korporat PPKKB dalam usaha untuk memantapkan ekonomi pertubuhan itu pada masa akan datang di samping projek-projek lain," katanya semalam.
Bagaimana pun, Rosman berkata pasaran ikan PPKKB sekarang ini tidak boleh pergi jauh dan hanya berlegar sekitara pekan Kuala Berang dan Ajil sahaja kerana pengeluarannya tidak banyak.
Katanya PPKKB memerlukan tambahan sekurang-kurangnya 200 lagi sangkar sekiranya ingin menembusi pasaran luar Terengganu pada masa depan.
"Kita sekarang cuma ada 48 sangkar sahaja yang dapat menampung kira-kira 100,000 ikan," kata sambil mengharapkan agensi-agensi kerajaan membantu bagi membesarkan projek ternakan ikan PPKKB itu.
Katanya sambutan orang ramai terhadap ikan air tawar di negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya amat menggalakkan kerana ikan darat mempunyai khasiat tersendiri.
Rosman berkata projek ternakan ikan dalam sangkar PPKKB bermula pada 2010 dengan pelaburan RM400,000 dari peruntukan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu.
Kini, katanya PPKKB mempunyak kira-kira 30,000 stok anak ikan talapia merah (bersaiz 7.62 cm - 25.7 cm), 2,000 ikan patin (bersaiz 500 gram), 200 baung dan 40,000 talapia (bersaiz 300-400 gram), bernilai keseluruhan kira-kira RM80,000.
Beliau berkata PPKKB telah menuai sebanyak tiga kali dalam tempoh operasi projek ternakan ikan itu sejak 2010 hingga 2012, berjumlah 5.0 tan metrik.
Untuk 2013 ini, Rosman berkata LPP telah meluluskan peruntukan RM250,000 untuk membesarkan lagi projek PPKKB itu.
"Kita telah diberikan kebenaran oleh Jabatan Perikanan untuk mengguna pakai 100 sangkar ikan jabatan itu di Sungai Comor Kuala Berang tahun ini," katanya.
PPKKB akan melabur RM120,000 untuk menambah 100 sangkar bagi membeli benih, operasi dan gaji pekerja serta lain-lain untuk memastikan bekalan ikan PPKKB dapat menembusi pasaran luar Kuala Berang.
Untuk memudahkan lagi pasaran ikan segar di bandar Kuala Berang, Rosman berkata PPKKB akan mewujudkan satu pusat pamasaran bersebelahan Pejabat Pertubuhan Paladang Kuala Berang Mei ini.
Katanya RM50,000 telah diluluskan LPP negeri untuk tujuan tersebut.
"Kita akan sediakan beberapa akuarium untuk menempatkan ikan segar yang akan kita beli dari penternak-penternak ikan di Tasik Kenyir, selain ikan yang diternak PPKKB sendiri," katanya
No comments:
Post a Comment