Tuesday, January 22, 2013

Tidak Ikut Prosedur Punca Visa Lewat Untuk Azizulhasni


Permasalahan isu kelewatan visa jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang timbul disebabkan pelumba itu sendiri tidak memenuhi prosedur permohonan.

Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, beliau telah dimaklumkan tentang perkara tersebut selepas meminta pegawainya menghubungi pihak Suruhanjaya Tinggi Australia di sini, bagi mempercepatkan proses mendapatkan visa.

Bagaimanapun, Zolkples enggan mendedahkan syarat yang tidak dipenuhi Azizulhasni sehingga menyebabkan masalah kelewatan itu.

Tambah Zolkples, tindakan Azizulhasni yang memilih untuk menguruskannya sendiri turut menjadi punca beberapa syarat tidak dapat dipenuhi sewaktu proses mendapatkan visa.

"Sebelum ini pihak MSN yang menguruskan proses mendapatkan visa tetapi kali ini dia memilih untuk menguruskannya sendiri kerana ingin membawa isteri dan anaknya mungkin kerana itu dia terlepas pandang beberapa syarat.

"Namun, syarat yang perlu dipenuhi telah dilaksanakan kini kita harap dalam masa terdekat ini Azizulhasni dan keluarganya dapat berlepas ke Australia," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MSN dan 100 PLUS di Kuala Lumpur, semalam.

Azizulhasni sebelum ini terpaksa menunggu dan berlatih sendirian di Malaysia selepas proses permohonan visanya untuk kembali menjalani latihan di Melbourne, Australia menemui jalan buntu.

Sepatutnya pelumba yang dikenali dengan gelaran The Pocketrocketman itu pulang ke Melbourne selepas isterinya, Athiah Ilyana Abd. Samat melahirkan cahaya mata.

Pelumba harapan negara itu dijangka menyertai perlumbaan pertamanya tahun ini, Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India, Mac ini.

No comments:

Post a Comment