Saturday, January 5, 2013

PRU-13 - SPRM Mula Terima Nama Bakal Calon Parti Politik Untuk DiTapis


 "Tapisan keutuhan ini merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan SPRM sejak tahun 1985....tidak terhad kepada calon parti politik sebaliknya boleh dilakukan terhadap calon untuk kenaikan pangkat, calon mendapatkan pingat untuk bersara pilihan, calon pegawai kerajaan dan calon syarikat swasta yang hendak menjawat sesuatu jawatan."
- Datuk Sutinah Sutan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima beberapa nama calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dari pelbagai parti politik bagi menjalankan tapisan keutuhan integriti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, pihaknya akan melakukan tindakan susulan terhadap senarai nama tersebut.

"Tapisan keutuhan ini merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan SPRM sejak tahun 1985 dan kita sentiasa bersedia menjalankannya sekiranya terdapat permintaan dari mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) Kumpulan Melaka Berhad (KMB) di Melaka semalam.

Majlis menandatangani CIP itu dilakukan Ketua Pegawai Operasi KMB Nordin Ali dan disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, pelaksanaan tapisan keutuhan tersebut bagaimanapun tidak terhad kepada calon parti politik sebaliknya boleh dilakukan terhadap calon untuk kenaikan pangkat, calon mendapatkan pingat untuk bersara pilihan, calon pegawai kerajaan dan calon syarikat swasta yang hendak menjawat sesuatu jawatan.

Sebelum ini, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mencadangkan supaya semua parti menghantar nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRU13 untuk ditapis atau melalui proses pemeriksaan oleh SPRM.

Pengerusi PPPR Datuk Johan Jaafar berkata cadangan itu bagi memastikan calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu.

Sementara itu, Sutinah meminta penglibatan secara menyeluruh syarikat korporat di negara ini untuk menandatangani CIP dalam usaha membanteras kegiatan rasuah dalam urusan perniagaan dengan lebih efektif.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 170 syarikat terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional dan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh negara telah menandatangani CIP tersebut.

"Di Melaka, KMB merupakan syarikat pertama yang menandatangani ikrar tersebut dan kita percaya langkah ini mampu mengembangkan dunia perniagaan di negeri ini secara lebih pesat selain bersih daripada rasuah," katanya.

No comments:

Post a Comment