Sunday, January 6, 2013

Mekanik Parah Diserang 4 Lelaki Depan Rumahnya Di Kampung Darau


Seorang mekanik cedera parah diserang sekumpulan empat lelaki di depan rumahnya di Kampung Darau, Hulu Besut semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun beberapa jam selepas kejadian bagi membantu siasatan dan hasil ujian awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah Methamphetamie.

"Siasatan awal mendapati serangan bermotif balas dendam setelah mangsa dikatakan gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang," katanya.

Lelaki berusia 29 tahun itu diserang di hadapan ibunya, seorang peneroka di Felda Selasih, yang ke rumah anaknya itu berhampiran Sekolah Kebangsaan Darau pada pukul 6.30 petang.

Akibat serangan itu, lelaki berkenaan cedera parah di bahagian lengan, rusuk dan ibu jari tangan kanan serta belakang badan.

"Lelaki yang cedera parah itu dihantar oleh ibunya dengan bantuan penduduk kampung ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan," katanya.

Beliau berkata, empat lelaki terbabit yang membawa pedang dan golok dilapor ke rumah mekanik itu dengan menaiki dua kereta Perodua Kancil

"Selepas menetak mangsa, keempat-empat suspek melarikan diri dengan kereta tetapi mangsa sempat mengenalpasti nombor pendaftaran sebuah daripada kereta yang digunakan," katanya.

No comments:

Post a Comment