Monday, January 21, 2013

PRU 13 Tidak Jejas Kelancaran TMT 2013

Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, dijangka tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini sempena kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata, beliau yakin sambutan pelancong terhadap TMT 2013 tidak akan terjejas, malah ia dijangka lebih meriah.

Beliau juga percaya pilihan raya umum di Terengganu kali ini akan menjadi daya tarikan baharu kepada pelancong dari luar negara. "Ia tidak menjejaskan aktiviti TMT 2013 ini.

Sebenarnya, yang terlibat dalam proses pilihan raya umum ini ialah cawangan, bahagian dan negeri, dan ia tidak mengganggu tugas jabatan kerajaan yang lain," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri menyediakan 23 program seperti Permainan Tradisional Terengganu dan Sambutan Tahun Baru Cina Terengganu untuk memeriahkan TMT tahun ini.

Katanya, pengusaha chalet di negeri ini juga sudah bersedia untuk menyambut ketibaan pelancong selepas musim tengkujuh berakhir pada Mac.

Terengganu menyasarkan sejumlah 4 juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini sempena TMT 2013.

No comments:

Post a Comment