Sunday, January 6, 2013

Pusat Pemindahan Banjir Terengganu Tutup, Kelantan Kekal 22 Mangsa Banjir

Pusat pemindahan banjir di surau Kampung Nyatuh, Setiu, Terengganu ditutup semalam  selepas semua 21 mangsa dibenarkan pulang.

Menurut portal banjir negeri, cuaca yang baik pada Sabtu membolehkan empat keluarga itu pulang dan seterusnya menjadikan pusat penempatan terakhir ditutup di negeri ini.

Jumlah korban banjir di Terengganu kekal enam orang. Laporan tersebut turut menyebut amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Terengganu dan sekitarnya dijangka berterusan sehingga Isnin (7 Januari).

Selain itu, kawasan pantai Terengganu serta Kelantan juga terdedah kepada kenaikan paras air laut dan ia dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Sementara itu, Di KELANTAN jumlah mangsa banjir sehingga malam ini kekal seperti petang tadi iaitu 22 orang.

Kesemua mangsa yang terdiri daripada lima keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Putih.

Jabatan Meteorologi semalam mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kuala Lumpur, dan Putrajaya yang dijangka berterusan sehingga lewat petang semalam.

Dalam kenyataannya, jabatan itu memaklumkan bahawa kawasan yang terlibat di Sabah ialah di bahagian pedalaman Tambunan serta di bahagian pantai barat, daerah Kudat, Kota Kinabalu, Sandakan,dan Tawau.

Amaran yang sama dikeluarkan di beberapa tempat di Negeri Sembilan (daerah Jelebu, Jempol, Tampin dan Kuala Pilah), Melaka (daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah), Pahang (daerah Bentong, Temerloh dan Bera).

Turut menghadapi keadaan yang sama ialah Sarawak di bahagian Mukah daerah Mukah dan Dalat. Keadaan cuaca yang sama juga dijangka berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Keadaan ini mungkin menyebabkan angin kencang dan banjir kilat.

No comments:

Post a Comment