Sunday, January 6, 2013

Sumbangsih - ATM Balas Dendam, Julang Piala Sultan Ahmad Shah

Kapten The Gladiators, Hairuddin Omar (tengah) menjulang trofi Piala Sumbangsih bersama Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin selepas dinobatkan selaku juara. ATM menewaskan Kelantan 4-3 menerusi penentuan penalti.


Pendatang baharu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013 dengan penuh bergaya.

Malam tadi, skuad The Gladiators itu merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas menundukkan juara trebel, Kelantan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1. Indra Putra Mahayuddin meledak gol pembukaan Kelantan sebelum tonggak pertahanan ATM, Irwan Fadzli Idrus menyamakan kedudukan pada penghujung babak kedua.

Keputusan seri itu menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti kerana tiada masa tambahan dilangsungkan.

Dalam penentuan sepakan penalti, perancang import The Gladiators, Bruno Marteloto muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan ATM.

Malah kemenangan itu membolehkan ATM merealisasikan misi balas dendam mereka terhadap Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Kedua-dua pasukan bermain dengan seimbang dalam aksi 45 minit pertama dengan kedudukan seri tanpa jaringan. Pendatang baru Liga Super, pasukan ATM menguasai sepenuhnya perlawanan babak pertama.

 Pasukan kendalian jurulatih B.Sathianathan itu hampir memecah kebuntuan menerusi tiga percubaan berbahaya. Pemain gantian Syazuan Hazani hampir meletakkan ATM di depan pada minit ke-15, tetapi rembatannya tersasar.

Juara Liga Super tahun lalu, Kelantan pula masih tercari-cari rentak untuk membolosi kubu pertahanan lawan.

Aksi babak kedua bersambung sengit. Pemain berusia 31 tahun, Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol pertama untuk The Red Warriors pada minit ke-55.

Keita Mandjou menggandakan jaringan buat Kelantan pada minit ke-60 tetapi gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid. The Gladiators bangkit melakukan asakan menerusi jaringan Irwan Fadzly Idrus pada minit ke-85. Pemain ATM, Irwan Fadzly Idrus (dua, kiri) menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Kelantan. Gol tersebut meletakkan kedudukan seri 1-1.

Kedudukan seri kekal sehingga minit ke-93 dan memaksa juara ditentukan menerusi sepakan penalti. Irwan Fadzly dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.

Barisan pemain:

Kelantan: Obinna Nwaneri, Nik Mohd Shahrul Azim, Zairo Anuar Bin Zailani, Mohd Shakir ShaariMohd Nor Farhan Muhammad, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Badhri Mohd Radzi, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Keita Mandjou, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Syazwan Yusof

ATM: K.Reuben, Mohd Fainizam Nordin, Bruno Marteloto, Muhd Shukor Adan, Venice Elphi AK Danny Kaya, Mohd Fitri Omar, Hairuddin Omar, Irwan Fadzly Idrus, Mohd Farizal Harun, Rezal Zambery Yahya, Amiridzwan Taj Tajudin

No comments:

Post a Comment