Seorang remaja yang terlantar di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama 26 hari akibat kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lepas, menerima bantuan wang tunai RM1,000 dari Tabung Darul Iman bagi meringankan beban kewangan keluarganya untuk kos rawatan susulan.
Walaupun telah sembuh dari kecederaan akibat kemalangan itu, Wan Muhammad Azamuddin Wan Che Ros, 16, kini terpaksa hidup dengan satu buah pinggang manakala sebahagian hatinya hancur akibat nahas tersebut, namun beliau tetap bersyukur kerana masih hidup.
"Akibat terlantar di HSNZ itu, saya tidak dapat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu... saya rasa bagaikan mati hidup semula dan akan lebih berhati-hati ketika menunggang motosikal selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pasir Panjang di Kuala Terengganu.
Beliau antara ribuan penerima bantuan Tabung Darul Iman, yang diwujudkan kerajaan negeri Terengganu khusus bagi membantu meringankan kos rawatan penduduk negeri ini yang berdepan pelbagai penyakit, terutama mereka yang berpendapatan rendah, ibu tunggal dan warga emas.
Wan Muhammad Azamuddin kini perlu mendapatkan rawatan susulan di HSNZ bagi memastikan perkembangan kesihatannya sentiasa stabil, namun kehidupan bersama nenek, Che Bunga Hashim, 58, hanya bergantung harap kepada anggota keluarga lain.
No comments:
Post a Comment