Thursday, January 17, 2013

SPR Lantik Pemerhati Asing Kalangan Negara Asean Untuk PRU-13

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melantik pemerhati asing dari kalangan negara anggota Asean untuk membantu memantau proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata melalui satu panel pemilih yang ditubuhkan atas nasihat Wisma Putra, SPR dijangka melantik pemerhati dari Indonesia, Filipina, Myanmar dan Thailand selain beberapa pemerhati daripada Sekretariat Asean.


"Setakat ini belum muktamad, ada beberapa negara tidak dijemput seperti Brunei, Singapura, Kemboja dan Laos. Wisma Putra yang kendalikan," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat PRU-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR zon timur di Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Aziz berkata selain pemerhati asing, SPR juga melantik 16 badan bukan kerajaan (NGO) yang bebas sebagai pemerhati pada pilihan raya kali ini. Menurutnya, daripada jumlah itu, membabitkan sembilan NGO dari Sarawak, Semenanjung (empat) dan tiga lagi dari Sabah.

Beliau berkata pemerhati asing dan NGO terbabit perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan SPR, dan jika gagal, nama mereka akan digugurkan daripada senarai. "Setiap NGO boleh hantar tiga wakil untuk satu bahagian. Kalau ada lima NGO berminat untuk satu bahagian, maka ada 15 pemerhati di bahagian itu dan mereka boleh memohon mana tempat yang mereka nak pergi," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata SPR menjangka pemilih berdaftar yang kini berjumlah 13.1 juta akan bertambah kepada 13.3 juta sekiranya senarai pemilih baharu, iaitu 295,173 orang termasuk 51,421 pemilih yang bertukar alamat pada suku terakhir 2012, dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih.

Katanya, SPR menetapkan 21 Jan ini sebagai tarikh mendaftar permohonan undi pos membabitkan pelajar dan pekerja rakyat Malaysia di luar negara yang sebelum ini sudah mendaftar sebagai pengundi.

Untuk permohonan pengundian pos dalam negara, iaitu untuk anggota polis, tentera selain petugas media dan SPR, permohonan hanya boleh dibuat selepas Parlimen dibubarkan, katanya.

No comments:

Post a Comment