Monday, January 21, 2013
SPR Muat Naik Borang Undi Pos Bulan Ini
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan memuat naik borang permohonan untuk mengundi secara pos di laman web badan itu pada bulan ini, kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Meskipun ada desakan daripada pihak tertentu supaya kaedah itu dimansuh serta diganti dengan pe ngundian awal, beliau berkata undi pos tetap relevan dan diperlukan.
“Antaranya untuk polis dan tentera yang terpaksa bertugas di luar negara, di atas kapal atau menjaga sempadan serta tidak sempat undi awal.
Mereka ini layak memohon undi pos menggunakan borang 1A,” katanya.
Beliau berkata pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, buat pertama kali, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, layak memohon mengundi pos.
“Bagaimanapun, bilangan sebenar petugas media menggunakan kemudahan ini hanya akan diketahui selepas SPR menerima semula semua borang permohonan,” katanya.
Berdasarkan laporan sebelum ini, dijangka kurang 10,000 petugas media bakal gunakan kemudahan itu. Wan Ahmad berkata, petugas media yang ingin mengundi secara pos perlu melengkapkan permohonan serta mendapat pengesahan majikan sebelum dihantar kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan menerusi faks, pos atau menyerahkannya sendiri.
Katanya, tarikh akhir hantar borang ialah hari ketiga selepas penamaan calon, petugas media layak (mengundi secara pos) akan terima sampul keutamaan, antara lain mengandungi kertas undi untuk calon kerusi Parlimen dan kerusi Dun masing- masing.
No comments:
Post a Comment