Monday, January 21, 2013

Anuar Manan Juarai Kriterium OCBC Cycle Malaysia


Anuar Manan (kanan) menjuarai perlumbaan Men's Criterium pada OCBC Cycle Malaysia di Jalan P. Ramlee semalam.
Jaguh pelumba pecut berbasikal lebuh raya negara, Anuar Manan membuktikan beliau masih mampu mencipta kejayaan biarpun telah lama tidak menyertai mana-mana kejohanan.

Anuar, 26, yang bakal menyertai pasukan benua Baku Cycling Project dari Azerbaijan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, meraih kedudukan pertama mengatasi juara kebangsaan 2012 Mohd Zamri Salleh daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohd Zamri, sekadar ditempat ketiga dalam perlumbaan kriterium selama 60 minit pada acara OCBC Cycle Malaysia 2013 di sekitar kawasan Menara Berkembar Petronas, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Australia, Stephen Hall. "Kemenangan ini memberi saya semangat untuk terus mencipta kejayaan untuk musim ini.

Kejayaan hari ini adalah satu permulaan yang baik. "Saya gembira kerana strategi saya menjadi walaupun saya berlumba secara berseorangan tanpa rakan sepasukan yang lain.

Saya memang mensasarkan untuk memenanginya," kata Anuar yang menerima hadiah wang tunai RM1,500 serta lain-lain barangan daripada pihak penaja.

Menurut Anuar, beliau akan ke Melbourne, Australia esok (hari ini) untuk menjalani kem latihan selama empat minggu bersama-sama pasukan benua yang baru disertainya itu.

"Sebelum ini saya mendapat program latihan daripada pasukan baharu itu dan berlatih di sini. Untuk LTdL saya rasa tidak ada masalah dan saya rasa prestasi saya kian meningkat," katanya.

Sementara itu, pelumba muda pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) Nur Amirul Fakhruddin telah dinobatkan sebagai 'Raja Pecut' perlumbaan berkenaan.

Dalam kategori terbuka wanita pula, pelumba kebangsaan Mariana Mohamad dan Noor Azian Alias menguasai kedudukan dua teratas perlumbaan kriterium selama 45 minit.

No comments:

Post a Comment