Tuesday, January 1, 2013

Sukarelawan UMT Siap Sedia Bantu Mangsa Banjir Di Terengganu

Bantuan tilam antara disumbangkan kepada mangsa banjir di Terengganu, minggu lalu.
Skuad Sukarelawan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersiap sedia membantu membersihkan rumah mangsa banjir di sekitar negeri itu dalam usaha meringankan mereka yang dilanda bencana.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Yahaya Ibrahim berkata skuad sukarelawan universiti itu telah membantu mangsa banjir di Kampung Padang Bual, Besut dan di perumahan Tanjung Damai dekat Gong Badak.

"Skuad ini yang disertai 47 anggota dari beberapa badan beruniform UMT telah membantu membersihkan 15 rumah mangsa banjir di Besut Khamis lalu manakala di Tanjung Damai pula, seramai 40 anggota skuad itu membersihkan 20 rumah yang terjejas.

"Ini adalah sebahagian usaha pelajar dan petugas UMT untuk menabur bakti kepada masyarakat sebagai tanda keprihatinan kami kepada mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UMT kali kedua di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya UMT akan terus membantu mangsa dan bersedia untuk menawarkan khidmat untuk menghadapi banjir gelombang kedua yang mula melanda Terengganu semalam.

No comments:

Post a Comment