Friday, January 18, 2013

Tapak Baharu Untuk Balai Polis Kuala Jengai Elak Banjir

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mencari tapak baharu bagi Balai Polis Kuala Jengai di sini yang sering ditenggelami air setiap kali banjir melanda Terengganu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata balai itu sekarang tidak sesuai untuk penempatan anggota jika banjir berlaku.

Permohonan untuk tapak baharu telah dibuat Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa kepada kerajaan, katanya kepada pemberita semasa melawat anggota dan keluarga mereka di balai tersebut yang mengalami banjir baru-baru ini.


Banjir pada 26 Dis lalu menyebabkan kawasan balai itu ditenggelami air sehingga paras bumbung dan lima anggotanya yang tinggal di kuarters terpaksa berpindah ke pusat pemindahan.

Beliau berkata PDRM turut memohon peruntukan kira-kira RM200,000 dari Kementerian Dalam Negeri bagi membaiki kerosakan balai itu akibat banjir. Ismail berkata apabila siap balai di tapak baharu, ia akan dinaik taraf sebagai Pangkalan Marin bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir

"Kita juga akan menambah keperluan logistik. Kini balai ini hanya mempunyai sebuah bot penyelamat dan apabila keperluan bot ditambah, rondaan lebih kerap di kawasan sungai dapat dilakukan," katanya.

 Di samping itu, beliau berkata anggota di balai tersebut yang terjejas akibat banjir akan turut dibantu.

No comments:

Post a Comment