Thursday, January 31, 2013

Terengganu FM Siarkan Dua Program Pembelajaran Bahasa Asing


Radio Malaysia Terengganu FM menyiarkan program pembelajaran bahasa Arab dan Inggeris untuk memperkasakan penguasaan dua bahasa utama itu di kalangan rakyat Terengganu.

Rancangan Al Arabiyyah Fi Al Radio mula bersiaran sejak 4 Januari lalu setiap 9.15 pagi Jumaat selama 45 minit bersama tetamu jemputan, beberapa pensyarah dari Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Sultan Zainal Abidin.

Selain itu, rancangan bahasa Inggeris pula bersiaran pada 12.15 tengah hari setiap Sabtu mulai minggu ini bersama Pengarah Penerbitan dari Universiti Malaysia Terengganu Profesor Madya Dr Noraein Mansor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, masih ramai masyarakat yang mendengar radio setiap hari bagi mendapatkan sumber maklumat, terutama mereka yang sibuk dengan pelbagai tugas rutin.

Berucap merasmikan Program Komunikasi Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan serta Pelancaran Program Bahasa Radio Malaysia Terengganu FM di Kuala Terengganu, semalam beliau memuji langkah menyiarkan program pembelajaran itu kerana mampu meningkatkan kemampuan pendengar berbahasa Inggeris dan Arab.

Ahmad Razif berkata, radio masih relevan sebagai penyalur maklumat walaupun masyarakat negara ini disogokkan dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi yang lebih canggih.

"Justeru itu, radio perlu bersifat mendidik masyarakat di samping menyebarkan maklumat semasa yang tepat dan benar kerana radio adalah medium yang mampu menggantikan bahan bacaan kepada rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment