Thursday, January 31, 2013

Menteri Besar Minta Lebih Banyak River Cruise


Kerajaan negeri bakal menambah lebih banyak lagi bot River Cruise dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, usaha itu sebagai salah satu langkah mempromosi bot river cruise yang mula beroperasi dua tahun lepas berserta pakej yang ditawarkan kepada masyarakat tempatan dan luar negara.

“Ia bertepatan dengan Tahun Melawat Terengganu 2013 dan akan membuat lebih lagi promosi berhubung kewujudan bot yang turut menawarkan pakej menjamu selera termasuk pada waktu malam.

“Bagi memberi suasana nampak lebih menarik, kerajaan akan meneruskan pembinaan benteng di sungai Terengganu serta menambah lampu supaya memperlihatkan pemandangan yang cantik pada sebelah malam,” katanya kepada pemberita sempena Program Susur Sungai di Riyaz Heritage, Pulau Duyong di Kuala Terengganu.

Hadir sama, ketua-ketua jabatan dan pegawai kerajaan.

Menurut Ahmad Said, kerajaan dalam proses menambah dua lagi bot untuk ditempatkan di Taman Tamadun Islam.

Katanya, bot-bot berkenaan dijangka sampai Mac atau April ini, yang pastinya memberi peluang orang ramai menyusuri sungai Terengganu berserta pakej menjamu selera dengan harga RM25 dan ke atas.

Sementara itu pada masa sama, Ahmad berkata, kerajaan membelanjakan RM40 juta untuk membeli tiga buah kapal korek bagi kerja-kerja mendalamkan muara sungai dan membina benteng.

“Kerja-kerja membina benteng dari Pulau Warisan ke Tanjung akan disambung bagi membina kawasan rekreasi lebih kurang 100 kilometer dan melibatkan penambahan 10 ekar tanah.

“Kawasan ini juga boleh diguna pakai untuk bot dan kapal berlabuh. Sebenarnya kapal-kapal telah ada, tetapi sedang digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan di Kemaman,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment