Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan setakat ini tiada wabak berjangkit dilaporkan melanda mangsa banjir melibatkan enam daerah sepanjang musim tengkujuh.
Pengarahnya, Dr Anwa Sulaiman berkata, walaupun begitu, terdapat 38 individu yang menghidapi penyakit ringan seperti gangguan saluran pernafasan dan radang kulit.
“Sepanjang banjir kali ini, kita telah memeriksa dan memberikan rawatan kepada 1,636 orang mangsa di pusat-pusat pemindahan.
“Setakat ini tiada berlaku wabak penyakit, cuma ada penyakit yang biasa dialami seperti demam, selesema dan ruam,” katanya.
Dr Anwa berkata, orang ramai terutama mangsa banjir dinasihati memastikan kawasan kediaman, tempat awam dan kawasan perumahan bebas daripada takungan air yang boleh membiakkan nyamuk aedes serta membawa penyakit demam denggi.
“Kita cadangkan supaya gotong royong bersama keluarga, masyarakat setempat dan di peringkat mukim dapat dijalankan lebih-lebih lagi pada masa sekarang, ketika cuaca masih lagi panas,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, mereka yang mengalami demam, batuk, cirit-birit dan muntah-muntah segera mendapatkan rawatan bagi mengelak keracunan makanan dan mengelak penyakit dihidapi bertambah buruk.
“Selain itu, kita harap mereka yang mengalami penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung mendapatkan pemeriksaan dan ubat-ubatan yang perlu kerana khuatir, sekiranya banjir besar melanda lagi, mereka akan terputus bekalan.
“Bagi memastikan tahap kesihatan terjamin, orang ramai dinasihatkan meminum air bersih sama ada yang dimasak atau yang dibotolkan, makan makanan bersih dan membasuh tanguan sebelum makan dan selepas ke tandas” katanya.
No comments:
Post a Comment