Seorang tukang cat bersama lima anak dan isterinya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Gong Machang, Pengkalan Kubur, Tembila dekat Jerteh hangus dalam kebakaran semalam.
Ketika kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Deris, 46, dan keluarga tiada di rumah.
Mohamad bekerja mengecat di projek Taman Ilmu Tembila manakala isterinya pergi mengambil lima anaknya yang berumur antara 7 hingga 15 tahun di sekolah.
Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata kebakaran rumahnya itu disedari oleh jirannya yang terus menelefonnya di tempat kerja kira-kira 1 kilometer dari rumahnya.
"Apabila sampai, saya dapati hampir 70 peratus dari kediaman saya telah musnah terbakar walaupun cuba dipadamkan oleh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat yang datang dengan dua buah jentera," kata Mohamad.
Menurutnya jiran memberitahunya kebakaran berpunca dari bahagian dapur rumah sebelum melarat ke bahagian lain rumah.
Beliau menganggarkan kerugian antara RM65,000 hingga RM70,000 kerana semua peralatan rumahnya termasuk peti sejuk, injin air, peti televisen, pakaian serta perabot musnah dalam kebakaran itu.
No comments:
Post a Comment