Monday, January 28, 2013

SPRM Nafi Dedah Keputusan Tapisan Calon - Menteri Atau Sinar Harian Kantoi?

 “Proses tapisan dibuat dengan penuh integriti dan keputusan tapisan ini disampaikan kepada parti berkenaan secara terus dan sulit...SPRM ingin menegaskan bahawa semua hasil tapisan ke atas mana-mana calon termasuk Menteri Besar, Ketua Menteri atau pemimpin tertinggi parti, tidak pernah didedahkan kepada mana-mana pihak melainkan parti yang meminta khidmat itu,” 
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Keputusan tapisan bakal calon pilihan raya yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah maklumat sulit dan hanya akan diserahkan kepada parti berkenaan yang meminta ia dilakukan.

Sehubungan itu, SPRM, dalam satu kenyataan semalam, menafikan laporan disiarkan sebuah akhbar semalam yang mengatakan beberapa calon tertentu gagal dalam ujian tapisan SPRM.

Jika demikian, apakah akhbar berkenaan, Sinar Harian, membuat andaian sendiri atau dipengaruhi pihak tertentu untuk 'menjejaskan imej' Barisan Nasional?

Kenyataan SPRM semalam menyebut, Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM sedang membuat tapisan terhadap senarai nama calon seperti dikemukakan oleh parti tertentu.

“Proses tapisan dibuat dengan penuh integriti dan keputusan tapisan ini disampaikan kepada parti berkenaan secara terus dan sulit,"

“SPRM ingin menegaskan bahawa semua hasil tapisan ke atas mana-mana calon termasuk Menteri Besar, Ketua Menteri atau pemimpin tertinggi parti, tidak pernah didedahkan kepada mana-mana pihak melainkan parti yang meminta khidmat itu,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan tapisan itu tidak boleh dikuat kuasa dari segi undang-undang yang mesti dipatuhi kerana SPRM hanya memaklumkan sama ada seseorang yang ditapis itu pernah atau sedang disiasat oleh suruhanjaya itu manakala keputusan pemilihan calon terletak sepenuhnya pada parti berkenaan.

Daripada penjelasan ini siapakah yang kantoi sebenarnya, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri atau Sinar Harian?

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim, berkata parti itu tidak bercadang menyerahkan senarai nama bakal calon kepada SPRM.

Katanya, PAS percaya semua mereka bersih daripada perkara yang boleh menjejaskan kedudukan sebagai calon.

Sebaliknya, PAS hanya berpuas hati dengan saringan dibuat jawatankuasa dalaman parti itu yang meneliti segala maklumat bakal calon terbabit yang turut diteliti oleh Majlis Syura.

“Jadi, kita tidak bercadang untuk bawa kepada SPRM. Kita (cukup) hanya melalui jawatankuasa dalaman parti,” katanya di Markas PAS Kuala Ibai di Kuala Terengganu, semalam.

No comments:

Post a Comment