Sunday, February 24, 2013

104 Penunggang Kuda, Termasuk Sultan Mizan Sertai MGIER 2013

Seramai 104 peserta dari lapan negara menyertai Kejohanan Kuda Lasak Jemputan Antarabangsa Melaka (MGIER) 2013 di Melaka, semalam.

Kejohanan itu turut disertai Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang mengetuai acara 80km.

Sultan Mizan yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) memakai nombor 9, menunggang kuda bernama 'RTES Extreme' dalam acara itu bersama 31 lagi peserta dari dalam dan luar negara.

Dua anakanda Sultan Mizan, iaitu Tengku Muhammad Ismail turut menyertai acara 80km manakala Tengku Fatimatuz Zahrah dalam acara 40km.

Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai Australia, Singapura, India, Indonesia, Perancis, Korea Selatan dan Thailand. Tiga kategori dipertandingkan iaitu 120km, yang disertai 16 peserta, 80km (32 peserta) dan 40km (56 peserta) dan peserta melalui kawasan ladang getah, ladang kelapa sawit dan kampung.

Acara pelepasan kategori 120 km disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam manakala Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob merasmikan pelepasan 80 kilometer di Stadium Hang Jebat, Krubong, dekat Melaka.

Perlepasan peserta bagi kategori 40km disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Omar Kaseh.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM12,000, trofi dan sijil bagi juara 120km, wang tunai RM6,000, trofi dan sijil (kategori 80km) manakala lima pelumba pertama bagi kategori 40km akan mendapat sijil tamat perlumbaan.

No comments:

Post a Comment