Sunday, February 24, 2013

Peteh Kids Sasar 500 Pemain Menjelang Tahun Depan

Akademi Bolasepak Peteh Kids Terengganu (ABPKT) menyasarkan 500 kanak-kanak akan menyertai akademi itu menjelang tahun depan, kata pengarahnya Wan Mohd Azmi Wan Ngah.

Bagi mencapai sasaran tersebut, beliau berkata pihaknya akan memperluaskan program bimbingan sukan itu ke setiap daerah dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain pelapis muda.

Sejak ditubuhkan dengan 50 pemain pada April tahun lepas, akademi bola sepak swasta pertama di Terengganu itu kini disertai 200 kanak-kanak berusia antara enam dan 11 tahun.

"Penubuhan Peteh Kids merupakan inisiatif kami dalam memberi bimbangan kepada kanak-kanak yang cenderung kepada sukan bola sepak untuk diketengahkan bakat mereka," katanya pada majlis pelancaran ABPKT oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di padang Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Batu Buruk, kelmarin.

APBPKT, yang dikendali oleh seorang jurulatih bertauliah dan dibantu enam penolong, mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM100 dan yuran bulanan RM35 seorang bagi mengikuti latihan dua kali seminggu. Latihan itu diadakan mulai 8 hingga 11 pagi pada Jumaat dan Sabtu.

No comments:

Post a Comment