Thursday, February 21, 2013
147,000 Mohon BL1M Sehingga Semalam
Kira-kira 147,000 permohanan bagi program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) diterima setakat 19 Februari, kata Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.
Beliau berkata Selangor mencatat pendaftaran paling ramai iaitu 18,802 permohonan diikuti Johor dan Sabah masing-masing 16,965 dan 16,647.
"Ini membuktikan bahawa program BL1M yang bertujuan meningkatkan taraf pengetahuan undang-undang jalan raya dan etika pemanduan bagi para belia mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh masyarakat pelbagai bangsa di negara ini," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.
Pada 31 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program BL1M anjuran SHEB bagi memudahkan golongan belia mendapat lesen motosikal B2 pada harga lebih murah, iaitu RM199 berbanding harga asal RM350.
Program BL1M itu terbuka kepada warganegara berusia 17 hingga 40 tahun dan yuran dikenakan meliputi permohonan lesen, gambar, kelas latihan amali, ujian teori undang-undang berkomputer dan praktikal di institut memandu.
Tengku Azman berkata pihak sekretariat akan bekerjasama dengan Majlis Belia Felda, Gerakan Belia 4B dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk menambah pusat pendaftaran BL1M di kawasan Felda, Kolej Komuniti serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"Dengan kerjasama ini menjadikan sebanyak 737 pusat pendaftaran BL1M di seluruh negara," katanya. Beliau turut menasihati pemohon BL1M agar berwaspada dengan individu yang mengaku sebagai ejen BL1M kerana SHEB dan Pemuda Barisan Nasional (BN) tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan permohonan itu.
Sementara itu, satu memorandum persefahaman (MoU) antara BL1M dan Persatuan Sekolah Institut Memandu Malaysia (Perpisma) diadakan bertujuan melancarkan proses pembelajaran di institut memandu. MoU itu ditandatangani Tengku Azman mewakili BL1M dan Presiden Perpisma Harun Shafiee.
Perpisma akan menjadi penasihat kepada BL1M dalam membantu peserta-peserta mengikut panduan dan undang-undang yang dibenarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tengku Azman berkata BL1M dan Perpisma akan mengadakan sesi kelas latihan amali yang pertama di daerah Jempol, Negeri Sembilan bermula 2 Mac.
No comments:
Post a Comment