Thursday, February 21, 2013

Keluarga Mangsa Kebakaran Terubat Dengan Kehadiran MB

 


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, tengahari semalam meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Titian Baru, Marang.

Kesedihan mangsa kebakaran, Yahya Harun, 61, (gambar kiri) dan keluarganya sedikit terubat apabila dalam kunjungan tersebut, Datuk Seri Haji Ahmad yang turut berjanji akan menyediakan bantuan pembinaan rumah baru dengan peruntukan sebanyak RM40,000.

"Saya nasihatkan mangsa supaya segera menghantar borang permohonan kepada Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong, Zaidi Muda bagi membolehkan pembinaan berjalan secepat mungkin.


"Rumah jirannya pula, Zamari Taib yang mengalami kerosakan di bahagian dinding ruang tamu juga akan diganti dengan dinding yang baru," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa kebakaran itu.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang Isnin lalu, keseluruhan rumah Yahya musnah dijilat api dengan anggaran kerugian RM200,000 mengakibatkan Yahya bersama isteri dan anaknya tinggal sehelai sepinggang.

Lebih menyedihkan apabila persiapan perkahwinan anaknya Syawal Firdaus, 26 iaitu 21 barang dulang hantaran kahwin termasuk set bilik tidur pengantin hangus terbakar.

Bagaimanapun, Yahya dan isterinya Fazilat Mamat, 49, tetap akan meneruskan kenduri kahwin di rumah pengantin perempuan yang dijadualkan pada 21 Mac depan di Kelantan.

Fazilah berkata mereka ingin mengadakan kenduri sambut menantu pada Jun ini dan berharap rumah baru itu sempat disiapkan sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Menteri Besar yang sudi datang bertanyakan khabar walaupun dalam kesibukan jadual hariannya," katanya sebak.

Menurut laporan Sinar Harian semalam,  Yahya dan isterinya Fazilat Mamat, 49, bertegas untuk meneruskan kenduri kahwin dijadualkan pada 21 Mac depan di negeri Che Siti Wan Kembang itu kerana pemilihan tarikh telah dibuat dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Sebanyak 21 dulang barang hantaran seperti pakaian, minyak wangi, kasut dan pelbagai barangan lain yang dalam proses disiapkan termasuk set bilik tidur musnah dalam kebakaran itu dan kesemua barang itu perlu digantikan dengan yang baru.

“Ini kerana kami tetap akan meneruskan kenduri kahwin Syawal dan Siti Fatihah mengikut jadual asal termasuk mengadakan kenduri sambut menantu di rumah kami pada April depan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu memusnahkan keseluruhan rumah Yahya dengan anggaran kerugian lebih kurang RM100,000 termasuk bahagian dinding rumah bersebelahan pasangan terbabit.

Namun, Yahya berkata, taksiran kerugian itu meningkat lebih sekali ganda kepada RM250,000 selepas pemeriksaan terperinci dilakukan ahli keluarganya dan anggota bomba dan penyelamat yang membuat pemeriksaan di kawasan kebakaran.

No comments:

Post a Comment