Tuesday, February 12, 2013

3 Keluarga Mangsa Kebakaran Dapat Rumah Baru

Tiga keluarga yang rumah mereka hangus seluruhnya dalam kebakaran Sept tahun lepas, hari ini gembira menerima rumah baru dibina atas keprihatinan kerajaan negeri Terengganu.

Di samping itu, mereka dari Taman Perumahan Wakaf Tengah, dekat Kuala Terengganu turut menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 pada Majlis Penyerahan BR1M bagi Parlimen Kuala Nerus oleh Ketua Umno Bahagian Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Seorang daripada mangsa kebakaran, Mazalan Mohamad, 64, melahirkan rasa gembira dan tidak sabar untuk berpindah masuk ke rumah baru.

"Saya sungguh teruja dan sangat gembira hari ini, bukan sahaja dapat kunci rumah, tetapi saya turut menerima BR1M sebanyak RM500.

Saya tak sabar untuk berpindah ke rumah baru dari rumah sewa sekarang," katanya.

Pada majlis itu, seramai 467 orang dari Kampung Pengkalan Maras dan Alor Damak dekat sini menerima bantuan kewangan itu

 Seorang lagi mangsa, Wan Nor Abidin Wan Salleh, 55, berkata, kalau tidak dibantu kerajaan, pembinaan rumahnya secara bersendirian pasti terbengkalai kerana beliau tidak mampu untuk membaikinya dalam masa singkat.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas perhatian kerajaan membantu memulihkan kediaman kami," katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, kerajaan terlalu banyak membantu rakyat dalam pelbagai bentuk dan mahukan rakyat memberi mandat kepada kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum ke-13 untuk terus memerintah.

Jabatan Kebajikan Masyarakat mengeluarkan peruntukan kira-kira RM100,000 bagi mendirikan semula tiga buah rumah berkenaan melalui Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment