Monday, February 11, 2013

BN Terengganu Peruntuk RM32 Juta Untuk Baik Pulih Rumah Daif


Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM32 juta tahun ini bagi membaik pulih rumah yang daif dan kerosakan bumbung di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri menerima peruntukan masing-masing sebanyak RM1 juta bagi tujuan itu.

"Bantuan khas membaiki rumah ini telah dimulakan sejak tahun 2009 dengan purata RM11,000 untuk kos membaiki atap dan kerosakan lain di setiap rumah," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke program membaiki atap di empat rumah di Kampung Bukit Takal di Kemaman, kelmarin.

Beliau turut menyertai kerja-kerja pembaikan itu. Seorang pemilik rumah, Haliah Hamzah, 53, bersyukur kerana penderitaannya tinggal dalam rumah yang usang itu berakhir apabila menerima bantuan dari kerajaan Barisan Nasional Terengganu.

"Makcik lama dah tinggal di sini sejak 20 tahun lalu dan sejak itu tak pernah membaiki kerosakan rumah sebab kesempitan wang.

"Setiap kali hujan, mak cik kena tadah baldi dan besen di setiap ruang dalam rumah sebab atap sudah banyak yang bocor dan berharap masalah itu selesai dengan pemasangan atap baru hari ini," kata ibu kepada empat anak ini.

Marina Ali, 31, berkata beliau gembira kerana kehidupannya selepas ini akan lebih selesa dengan bantuan kerajaan itu hingga dapat membaiki bumbung rumahnya.

No comments:

Post a Comment