Wednesday, February 27, 2013

334 Kes Kemalangan Di LPT 2, 10 Kemalangan Maut

Sebanyak 334 kes kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) , Ajil-Bukit Besi dan Ajil-Telemong direkodkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, bermula tempoh lebuh raya berkenaan dibuka pada 22 Ogos 2011 sehingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, daripada jumlah tersebut, 10 kes melibatkan kemalangan maut manakala selebihnya membabitkan kemalangan parah, kemalangan ringan serta kemalangan rosak sahaja.

“Lokasi dikenal pasti sering berlaku kemalangan ialah di Kilometer 393 hingga Kilometer 396.3 Bukit Besi-Ajil dan ada antaranya insiden ini melibatkan kemalangan maut.

Selain terbabas, ada kemalangan dipercayai berpunca akibat langgar belakang. “Selain itu, haiwan ternakan berkeliaran juga menjadi salah satu punca kemalangan dan dalam hal ini, kita minta kerjasama penternak agar tidak membiarkan haiwan peliharaan tidak berkeliaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Kuala Berang, kelmarin.

Menurut Mohd Ismail, pemandu dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika memandu ketika melalui kawasan sering berlaku kemalangan. "Pemanduan secara berhemah harus sentiasa disematkan dalam diri.

“Mereka juga diingatkan supaya mematuhi peraturan serta undang-undang termasuk memandu tidak melebihi had ditetapkan selain tidak mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat," katanya.

Sementara itu, Mohd Ismail turut mengingatkan pemilik motosikal agar sentiasa memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat termasuk menggunakan kunci pendua sebagai langkah pencegahan jenayah

 “Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, terdapat enam kes kecurian motosikal dilaporkan. Lokasi sasaran di kawasan rumah penduduk di kampung-kampung. Sebagai peringatan, diharapkan pemilik perlu gunakan kunci tambahan pada motosikal mereka.

“Hal ini perlu diberikan perhatian kerana ada dalam kalangan pemilik motosikal memandang remeh perkara ini dengan beranggapan kenderaan mereka tidak akan dicuri di rumah.

Tanggapan ini sebenarnya silap kerana penjenayah melakukan jenayah sekiranya ada peluang,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment