Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan menganugerahkan 50 anugerah kepada pemandu paling berhemah sepanjang Ops Selamat yang mula dilancarkan dari 3 hingga 17 Febuari ini.
Anugerah itu akan membabitkan 30 penunggang motorsikal manakala 10 masing-masing bagi pemandu bas dan pemandu kereta yang akan dipilih secara rawak di mana ia akan diumumkan pada 20 Febuari ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid anugerah ini akan diberikan kepada pemandu serta penunggang paling berhemah serta anugerah kepada kontinjen yang berjaya mencatatkan kadar kemalangan dan pecah rumah yang paling rendah.
"Anugerah yang memasuki kali ketiga ini dibuat sebagai suntikan dan dorongan kepada pemandu untuk berdisiplin serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Salleh berkata pemilihan akan buat melalui rekod bersih pemandu, mematuhi peraturan yang ditetapkan serta cara mereka menunggang dan memandu.
"Bagi penunggang motorsikal kita memperincikan topi keledar yang dipakai selamat ke tidak, ada lesen memandu ke tidak dan manakala bagi pemandu bas, kita akan bertanya kepada penunggang sama ada cara pemanduan mereka bahaya ke tidak dan sebaginya," katanya.
Menurutnya anugerah yang mula diperkenalkan pada Ops Sikap 25 (kini dikenali sebagai Ops Selamat) berjaya menunjukkan kesan yang positif dan akan meneruskan anugerah seperti ini bagi mendidik pengguna jalan raya.
Beliau berharap anugerah ini dapat dijadikan contoh dan dorongan kepada pemandu yang lain untuk menggunakan jalan raya secara berhemah.
"Mereka yang terpilih merupakan role model yang boleh dijadikan contoh tauladan oleh pengguna jalan raya yang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment