Friday, February 22, 2013

6 Batang Besi - 2 Beradik Dipenjara Sehari, Denda RM1,000


Gara-gara gagal memberi penjelasan munasabah berhubung enam batang besi perancah bangunan yang dimiliki, dua beradik menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam.

Saidi Bidin dan Mohamad Ridzuan Bidin, dari Kampung Pengkalan Arang, turut diperintahkan tambahan penjara selama sebulan lagi jika gagal menjelaskan denda.

Kesemua hukuman itu diputuskan selepas mereka berdua mengaku bersalah bersama-sama pada 17 Februari lalu, lebih kurang jam 1 pagi, di hadapan kedai besi buruk, Kampung Banggol Air Lilih,  telah gagal memberi penjelasan berkenaan enam batang besi perencah bangunan yang berada dalam milikan mereka.

Dengan itu, mereka yang bekerja sebagai buruh itu mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955, 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mereka yang sedang menaiki sebuah motosikal Honda Ex5, di jalan Kampung Banggol Air Lilih, telah terserempak dengan anggota polis yang sedang melakukan Ronda Cegah Jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

Melihatkan keadaan mereka yang dalam mencurigakan sambil membawa enam batang besi perancah bangunan ke kedai besi buruk berhampiran, anggota bertugas membuat soal siasat, bagaimanapun, mereka gagal memberi penjelasan munasabah berkaitan besi tersebut.

SH Online

No comments:

Post a Comment