Thursday, February 21, 2013

Kerangka Bumbung Bukan Runtuh, 'Benda Yang Dipegang Terlepas Dari Tangan'

 
Bumbung SSMZA Sedang Dibaik Pulih Runtuh Hanya Fitnah, Khabar Angin?

Laporan online Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini dan teganuku semalam silap?

Hanya laporan Terengganu TODAY yang betul mengenai berita “Bumbung Stadium SMZA yang sedang dibaik pulih runtuh’.

Itulah yang dapat difahamkan jika membaca apa yang diposkan oleh IZ TT melalui Terengganu TODAY.

Dalam laporanya semalam dengan tajuk ‘Gempar!! Stadium Sultan Mizan Runtuh Lagi?’, Terengganu TODAY menyebut bahawa ‘Heboh dimainkan oleh pengamal media maya bahawa Stadium Sultan Mizan runtuh buat kali kedua.”

Menurut Terengganu TODAY : “Penulis dengan segera telah bergegas ke tempat kejadian bagi menghubungi beberapa pekerja di sana untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang kejadian yang berlaku. Apa yang melucukan adalah setibanya penulis di sana, khabar angin yang disebarkan tidak setepat mana.

Walaupun terdapatnya sedikit kemalangan yang telah berlaku, sepertimana dilaporkan di dalam beberapa akhbar Online. Ianya merupakan tidak lebih dari sebuah kemalangan di tempat kerja. Manakala bumbung yang telah runtuh itu pula sememangnya sedang melalui proses perobohan. 

Ini kerana Pihak JKR dan kontraktor yang tebabit sedang dalam proses untuk memotong dan membuang besi kerangka bumbung yang terdapat pada bangunan stadium di sebelah selatan, di mana proses ini telah bermula sejak bulan lepas.

Menurut Terengganu TODAY lagi : “Proses merobohkan bumbung lama ini dilakukan bagi menggantikan bumbung baru yang lebih sesuai bagi stadium tersebut mengikut keadaan tempat dan cuaca di sini atau dalam erti kata lain, bumbung berkenaan ‘memang perlu dirobohkan’ dalam memudahkan kerja-kerja pemasangan bumbung baru.”

Berikutan itu Terengganu TODAY berharap “…pihak yang menyebar khabar angin dan gambar-gambar proses pembinaan semula terutama dari pembangkang, tidak menjadikan perkara sebagai satu isu dalam menunjukkan kecuaian mana-mana pihak dan mengambil kesempatan di atas perkara tersebut. Secara peribadi, penulis melihat perbuatan menyebar fitnah seperti ini menunjukkan kedangkalan tahap pemikiran pengamal media pro pembangkang.

Pada ayat paling akhir, Terengganu TODAY tulis: “Ralat : Akhbar Utusan Online dan Berita Harian telah melaporkan berlakunya kemalangan di Stadium Sultan Mizan di mana 3 orang telah tercedera.”

Pertanyaan teganuku cuma satu, jika ia fitnah dan khabar angin, apakah tiga pekerja yang parah itu disebabkan kecuaian mereka sendiri atau kontraktor yang patut dipersalahkan?

Oleh kerana ia bukan suatu keruntuhan dan memang perlu dirobohkan untuk memasang bumbung baru, apakah sebarang kerugian daripada kejadian semalam perlu ditanggung oleh kontraktor berkenaan atau memerlukan peruntukan tambahan?

Penjelasan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said membantu kita memahami isu ini apabila beliau berkata: "Bukan runtuh, ini tak betul (jika stadium itu dikatakan) runtuh. Dia (pekerja kontraktor) sedang angkat (peralatan pembinaan) menggunakan kren tetapi terlepas (dan menyebabkan kecederaan itu). Dan itu adalah tanggungjawab dia (kontraktor).

“Bukan runtuhan, itu tanggungjawab kontraktor (kerana) tidak menjaga keselamatan. Ini yang tidak betul (mengenai runtuhan itu) kerana kerja-kerja sedang berjalan, jadi benda yang dipegang (kren) terlepas menyebabkan ia berlaku.”

No comments:

Post a Comment