Sunday, February 24, 2013

654 Taska Guna Program Permata Sejak 2007

Sebanyak 654 taman asuhan kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara menggunakan Program Permata sejak diperkenalkan pada tahun 2007.

Isteri perdana menteri merangkap Penaung Program Permata Datin Seri Rosmah Mansor berkata Program Permata itu hasil kerjasama pelbagai agensi yang berkongsi aspirasi menyediakan platfrom awal untuk melahirkan modal insan kebanggaan negara.

"Atas kejayaan ini, saya harus merakamkan rasa terima kasih kepada agensi yang terlibat iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Sejajar dengan perkembangan itu, Permata Negara dengan kerjasama Pusat penyelidikan dan Perkembangan kanak-kanak Kebangsaaamn (NCDRC) menjalankan beberapa kajian penyelidikan bagi memberikan lebih nilai untuk Program Permata," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian serentak 65 Taska Permata Keluarga negeri Terengganu di Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Bukit Tunggal yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Terengganu To' Puan Seri Norliza Mahmud dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Rosmah berkata di Terengganu terdapat 65 Taska Permata Keluarga di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang meliputi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Beliau berkata apa yang menggembirakan ialah kesemua taska itu menggunakan sepenuhnya program dan kurikulum Permata.

"Saya difahamkan bahawa Terengganu mempunyai bilangan Taska Permata Keluarga yang terbanyak jika dibandingkan dengan negeri lain.

"Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Terengganu terhadap pendidikan awal kanak-kanak yang akan menjadi sumber manusia atau aset terpenting bagi negeri ini kelak dan kami mahu negeri lain ikut menubuhkan Taska Permata seperti Terengganu," katanya.

Rosmah berkata peruntukan sebanyak RM18 juta diberi kepada YPKT yang telah dimanifestasikan dengan kejayaan perluasan Program Permata di negeri itu. Beliau berkata ini adalah sebuah Janji Yang Ditepati dan kejayaan program ini memberi peluang kepada anak-anak di setiap DUN di Terengganu mengikuti pendidikan awal.

Rosmah berkata ini juga mencerminkan kerjasama dan komitmen kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyediakan program asuhan dan didikan awal berkualiti dan menyeluruh untuk dinikmati oleh kanak-kanak terutama di kawasan luar bandar.

"Saya sendiri percaya pendidikan yang berkualiti adalah satu daripada strategi yang boleh diambil sebagai persediaan untuk membina modal insan terbaik negara dan menangani masalah sosial di kalangan remaja," katanya.

Pada majlis itu Rosmah turut beramah mesra dengan ibu bapa kanak-kanak dan bersalaman orang ramai yang hadir.

No comments:

Post a Comment