Saturday, February 9, 2013

Ahmad Said - Biar Rakyat Nilai Kerjasama DAP-PAS


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat mampu menilai sendiri sama ada kerjasama antara Pas dan DAP memberi kebaikan kepada umat Islam ataupun sebaliknya.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau melihat DAP menjadi parti dominan antara Pas dan PKR hinggakan Pas sendiri terpaksa akur dengan kehendak DAP.

"Itu hal dialah (pakatan pembangkang), saya tak mahu campur tangan dan rakyat boleh nilai sendiri. Saya tak mahu komen kerana ini hal rumah tangga mereka, biar dia urus sendiri," katanya.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai desakan segelintir pihak yang mahu Pas keluar daripada pakatan pembangkang ekoran kontroversi penggunaan kalimah ALLAH.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perarakan perdana sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Kemaman 2013 di Taman Bandar Chukai kelmarin.

Sementara itu, Ahmad Said berkata, BN Terengganu menyasarkan untuk memenangi semula lima daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Terengganu yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

"Tapi jika BN mampu tawan lebih banyak kerusi DUN, ia adalah satu bonus kepada BN dan kami akan berusaha untuk menjadikannya sebagai satu kenyataan," katanya.

Lapan daripada 32 kerusi Dun yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lepas ialah Manir, Batu Burok, Rhu Rendang, Wakaf Mempelam, Ladang, Sura, Bukit Tunggal dan Bukit Payong. Ahmad berkata, BN dan Umno Terengganu telah lama bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan hanya menunggu masa pengumuman pembubaran Parlimen.

No comments:

Post a Comment